Tuesday, 3 February 2015

Kos Memliki Kereta di Malaysia Adalah Yang Terendah di ASEAN



Kos keseluruhan bagi pemilikan kenderaan di Malaysia adalah antara yang terendah di ASEAN, menurut satu analisis perbandingan yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, harga kenderaan di Malaysia diakui tinggi berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Thailand namun jika dihitung dengan harga petrol, insurans dan cukai jalan, kos pemilikan kenderaan di negara ini masih lagi rendah.

"Tidak adil untuk membuat perbandingan daripada segi harga kereta sahaja sedangkan untuk memiliki sesebuah kenderaan, pengguna perlu membayar harga petrol, insurans, cukai jalan dan sebagainya, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengambil contoh kereta Toyota Vios 1.5 liter dengan transmisi manual, Mustapa berkata, pembeli di Malaysia perlu membayar kos kereta sebanyak RM87,313 berbanding di Thailand hanya RM69,000 manakala Indonesia pula adalah RM78,550.

Namun setelah dihitung secara keseluruhan merangkumi harga kereta, harga petrol, insurans dan cukai jalan, pembeli di Malaysia hanya perlu membayar sejumlah RM125,361 berbanding RM146,475 di Thailand dan RM147,283 (Indonesia).

Malah menurut beliau, sekiranya pengguna di Malaysia tidak diberi subsidi petrol seperti mana negara-negara ASEAN yang lain, kos pemilikan kereta Vios tersebut hanyalah RM133,005, masih rendah berbanding Thailand dan Indonesia.

Andaian itu dibuat dengan mengambil kira pengguna mengisi petrol tangki penuh seminggu sekali, bayaran cukai jalan dan insurans tahunan selama lima tahun.

Analisis perbandingan tersebut mendapati harga petrol Ron 95 di Malaysia adalah yang terendah berbanding negara-negara lain.

Malah Malaysia menduduki tangga ketiga paling rendah untuk bayaran cukai jalan tahunan selepas Vietnam (tiada bayaran cukai jalan) dan Filipina (RM306) manakala Singapura merekodkan bayaran tertinggi sebanyak RM2,756 diikuti Indonesia (RM1,837).

Negara turut menduduki tangga ketiga bayaran insurans tahunan terendah kira-kira RM3,062 selepas Filipina (RM2,847) dan Vietnam (RM3,062).

Manakala Singapura merekodkan bayaran insurans tahunan tertinggi dengan RM7,960 diikuti Thailand (RM6,736) dan Indonesia (RM4,593).

0 ulasan:

Post a Comment

Copyright © 2014 MARKET & BOOKU.COM